IBADAT PUASA
Firman Allah Taala:"Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Qur'an pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan." (1)
Bulan Ramadhan, al-Qur'an dan "Malam Lailatul Qadar" mempunyai hubungan yang rapat antara satu dengan yang lain - sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan juga di dalam hadith-hadith Rasul-Nya s.a.w.
Bulan Ramadhan ialah bulan "Nuzul al-Qur'an":
"Bulan Ramadhan (ialah bulan) yang padanya diturunkan al-Qur'an .."(2)
Dalam ayat yang lain diterangkan lagi tentang masa turunnya al-Qur' an:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Qur'an pada malam lailatulqadar, (malam kemuliaan dan kebesaran)" (3)
Oleh kerana pada ayat yang lalu ditegaskan bahawa Al-Quran diturunkan oleh Allah Taala dalam bulan Ramadhan, maka dapat difaham bahawa "Malam Lailatulqadar" itu ialah salah satu malam dari bulan Ramadhan, tetapi tidak diterangkan malam yang mana satu?
Tujuannya supaya Rasulullah s.a.w dan umatnya membanyakkan ibadat dan amal kebajikan di sepanjang bulan Ramadhan.
Malam Yang Berkat
Malam "Lailatulqadar" juga disifatkan di dalam Al-Quran sebagai "malam yang berkat":
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat .. "(4)
"Malam yang berkat" yakni malam yang mengandungi pelbagai jenis kebaikan, kerana pada malam itu turunnya malaikat membawa rahmat dan salam sejahtera, seperti yang diterangkan di dalam Al-Quran.
"Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahtera malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar". (5)
_______________________________
1. Ayat 1, 2 dan 3, Surah al-Qadar.
2. Ayat 185, Surah al-Baqarah.
3. Ayat yang pertama, Surah Al-Qadar.
5. Ayat 4 dan 5, Surah al-Qadar.
Kelebihan Menghayati Malam Lailatulqadar:
Kerana mulianya malam "Lailatulqadar", Rasulullah s.a.w menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amal ibadat yang membawa rahmat.
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
64- Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w sabdanya: " .. Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang (dan pelbagai jenis ibadat yang lain) (1), sedang ia beriman (2) dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya ia diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu". (3).
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari).
______________________________
1. Seperti membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, bertaubat dan berdoa pada malam yang berkat itu.
2. (Sedang ia beriman) yakni sedang ia percaya dengan yakin tentang benarnya keistimewaan malam Lailatulqadar yang mulia itu.
Rasulullah s.a.w sendiri yang menjadi "contoh yang baik" telah menghayati - terutama sepuluh malam yang akhir dari bulan Ramadhan, dengan beriktikaf di masjid(1) - mengerjakan pelbagai jenis amal ibadat, untuk menyambut kedatangan malam "Lailatulqadar" yang mulia itu.
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
65- Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Biasanya Rasulullah s.a.w berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat pada sepuluh malam yang akhir (dari bulan Ramadhan), berbanding dengan masa yang lain". (2)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim).
______________________________
1. Bab beriktikaf di masjid telah diterangkan dalam "Mastika Hadith" jilid kedua (259- 261).
2. Misykat al-Masabih (1:647).
66- Dari 'Aisyah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam ganjil dalam sepuluh malam yang akhir, dari bulan Ramadhan". (1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari).
"Malam-malam yang ganjil" yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 dan 29 dari bulan Ramadhan.
Dalam pada itu, ada hadith yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w pada malam 21 Ramadhan. (2)
Adapun hadith yang menyatakan bahawa malam yang mulia itu pernah ditemui dalam zaman baginda - pada malam 23 Ramadhan. (3)
Adapun hadith yang menyatakan bahawa Baginda pernah menyuruh seorang sahabat bertanya mengenai masa Lailatulqadar, supaya ia bersedia menghayatinya, pada malam 27 Ramadhan. (4)
Dari keterangan hadith-hadith yang tersebut dapat difaham bahawa "Malam Lailatulqadar" itu berpindah-pindah dari satu tahun ke tahun yang lain - dalam lingkungan "Sepuluh malam yang akhir" dari bulan Ramadhan.
Jelasnya masa berlakunya malam Lailatulqadar tetap dirahsiakan supaya setiap orang Islam menghayati sepuluh malam yang akhir dari bulan Ramadhan dengan amal ibadat, kerana dengan cara itulah sahaja - mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharap-harapkan, yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia dan akhirat.
______________________________
2. Al-Fath al-Rabbani (10:279).
Doa Khusus Untuk Malam Lailatulqadar
67- Dari 'Aisyah r.a., katanya: Saya pernah bertanya dengan berkata: "Ya Rasulullah, Bagaimana kiranya saya mengetahui akan malam Lailatulqadar itu dengan tepat, apa yang saya akan doakan pada saat itu?" "Baginda menjawab: "Berdoalah dengan doa yang berikut: (1)
(Hadith Sahih - Riwayat Tirmizi)
Maksud doa yang tersebut: "Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau sentiasa memaafkan (salah silap hamba-hamba-Mu), lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku."
Lailatulqadar: "Kemuncak Bulan Ramadhan".
Menurut huraian ulama', rahimahullah, Lailatulqadar merupakan "kemuncak bulan Ramadhan"(2) kerana kemuliaannya yang diterangkan di dalam al-Qur'an al-Karim dan hadith-hadith Rasulullah s.a.w.
Sebab itulah umat Islam digalakkan menghayati sepuluh malam yang akhir dari bulan Ramadhan dengan amal ibadat, dengan membaca Al-Qur'an dan memperbanyak beristighfar, bertasbih, bertahmid, bertahlil dan berselawat atas Nabi Muhammad s.a.w.
Orang-orang yang tekun beribadat pada sepuluh malam yang tersebut akan mendapat rahmat yang dijanjikan, kerana telah sabit dalam hadith-hadith yang sahih bahawa malam "Lailatulqadar' wujud pada salah satu dari malam-malam yang sepuluh itu, terutama pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29.
Orang-orang yang tekun beribadat dalam masa yang tersebut - untuk menemui malam Lailatulqadar - akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu, sama ada ia dapat menemuinya (dengan melihat sesuatu yang luar biasa) atau tidak dapat menemuinya dan tidak melihat apa-apa. Kerana yang penting seperti yang tersebut dalam hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim yang telah diterangkan pada bahagian yang lalu ialah:
Pertama: Menghayati masa yang tersebut dengan amal ibadat.
Kedua: Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatulqadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadat.
Ketiga: Amal ibadat itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat-Nya dan keredhaan-Nya.
Sebelum itu hendaklah ia bertaubat dengan sebenar-benarnya - "Taubat Nasuha" dan terus "Beristiqamah" (tetap teguh - mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya).
Banyak Orang Yang Menyaksikan Malam Lailatulqadar
Imam Nawawi rahimahullah, berkata: "Malam Lailatul Qadar dapat disaksikan oleh orang yang dikehendaki Allah pada tiap-tiap tahun dalam bulan Ramadhan, sebagaimana yang telah diterangkan dengan jelas dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w. dan diberitakan juga oleh orang-orang yang soleh ...."(3)
Kemudian Imam Nawawi menyebutkan penjelasan Imam Al-Mawardi rahimahullah, dalam kitabnya "Al-Hawi": Bahawa orang yang dapat menyaksikan malam Lailatulqadar, elok ia menyembunyikan perkara-perkara yang telah disaksikan (supaya ia terselamat dari perasaannya) dan hendaklah ia berdoa (pada saat yang berkat itu) dengan ikhlas dan sepenuh-penuhnya yakin, dengan permohonan yang disukainya mengenainya agama dan dunianya dan biarlah kebanyakan doanya itu untuk (kebaikan dan keselamatan) agama dan hari akhirat."(4)
Tanda-Tanda Mengenai Malam Lailatulqadar
Alim ulama' rahimahullah menyebutkan beberapa tanda atau alamat berhubung dengan malam "Lailatulqadar".
Ada yang berkata: Orang yang menemui malam "Lailatulqadar", ia melihat nur yang terang benderang di segala tempat, hatta segala ceruk yang gelap-gelita.
Ada pula yang berkata: Ia mendengar ucapan salam dan kata-kata yang lain dari malaikat.
Ada juga yang berkata: Ia melihat segala benda (termasuk pohon-pohon kayu) rebah sujud.
Ada pula yang berkata: Doa permohonannya makbul.
Imam Al-Tabari rahimahullah memilih "qaul" yang menegaskan: Bahawa semuanya itu tidak lazim (tidak semestinya ia dapat melihatnya), kerana tidak disyaratkan "melihat sesuatu atau mendengarnya" untuk menemui malam Lailatulqadar. (5)
Yakni yang penting ialah taat mengerjakan amal bakti kerana Allah semata-mata, kerana balasannya tetap terjamin dan akan dapat dinikmati di dunia dan akhirat.
______________________________
2. Al-Ibadah, Ahkam wa Asrar (2:128).
5. Al-Fath al-Rabbani (10:296).
0 bla..bla..bla...:
Post a Comment